Makam al-Allamah Arif Billah Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi al-Yamani @ Datuk Seri Raja Faqih (Hidup Abad Ke-16)

Diriwayatkan bahawa Syeikh Shafiyuddin al- Abbasi merupakan seorang pendakwah yang berlayar dari negara Pasai ke Patani dengan matlamat untuk menyebarkan Islam di Patani yang pada waktu itu diperintah oleh Sultan Muzhaffar Shah (memerintah dari 1530 hingga 1564).
Beliau merupakan keturunan Saiyidina Abbas Bin Abdul Muthalib r.a. Syeikh Shafiyuddin dikisahkan tiba di Patani sekitar 1400an didalam satu riwayat dan tahun 1500an dalam satu riwayat lagi. Selain dari nama tersebut, beliau juga digelar dengan nama Tok Raja Faqih.

Jasa beliau yang paling besar selain menyebarkan Islam di negara Patani ialah dengan tertulisnya Kitab Tarikh Fathani. Cucunya Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyalinnya kembali sekitar abad ke 17 dan seterusnya disalin pula oleh Bahjah Addin Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani pada tahun 1813.
Tarikh Fathani adalah penting kerana beberapa maklumat yang amat berharga buat alam Melayu iaitu :
1. Memberi maklumat bahawa Patani telah wujud sejak tahun 200 Masihi.
2. Memberi maklumat bahawa Patani dan Kedah itulah yang bernama Kerajaan Langkasuka.
3. Memberi maklumat bahawa antara tahun 75 Masihi sehingga tahun 800 Masihi, Langkasuka-Patani telah berpengaruh di dunia antarabangsa terutama sekali terhadap China, Arab dan Parsi, apatah lagi terhadap kerajaan-kerajaan Melayu seumpama Sriwijaya, Sailandera, Khemir dan lain-lain.
4. Memberi maklumat bahawa agama tauhid (samawi), iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa sejak lama telah dianuti oleh orang Melayu Patani.
5. Memberi maklumat bahawa agama Islam telah tersebar di Patani sejak tahun 750 Masihi, yang merupakan persaingan terhadap agama Hindu, Buddha dan Animisme.
Selain Tarikh Fathani ada lagi sebuah karya yang berasal daripada Syeikh Shafiyuddin, iaitu yang diberi judul Kitab Sia-sia Berguna. Kandungannya membicarakan pelbagai jenis penyakit dan ubat-ubatnya.
Syeikh Safiyuddin al-Abbasi @ Tok Seri Raja Faqih meninggalkan ramai zuriat yang menjadi ulama dan tokoh. Beliau memperoleh dua orang anak, iaitu Raja Ducang Bukit Jala bergelar Raja Fathani Long Cang dan yang seorang lagi bernama Wan Muhammad bergelar Orang Kaya Seri Akar Diraja Mahaputeri Bagi Sultan Digalang Ismail Zhillullah fil ‘Alam.
Makamnya terletak di Perkuburan Tok Faqih, Tempat 2, Mukim Tanjung Lu’lu’, Daerah Mueang, Patani.
Sumber – Tulisan Syeikh Wan Mohd Shaghir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *