3 Disember 2021, 72 tahun yang lalu, pejuang bangsa, Rosli Dhobi menikam Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart.
Apabila Sarawak diserahkan Charles Vyner Brooke kepada pentadbiran koloni British pada 1 Julai 1946 tanpa persetujuan rakyatnya, bangkit Gerakan Anti-Penyerahan yang kemudian dikekang oleh kerajaan British dengan tindakan keras.
Susulan itu pemuda di Sibu menubuhkan satu kumpulan rahsia dipanggil Rukun 13, dengan matlamat membunuh Gabenor British Sarawak. Sasaran asalnya Sir Charles Arden-Clarke, namun dia dipindahkan ke Gold Coast, Australia & digantikan Sir Duncan Stewart.
Rosli Dhobi, seorang guru muda anak jati Sibu menyertai Rukun 13 pada Ogos 1948. Dilahirkan pada 18 Mac 1932, beliau yang tegar dalam gerakan perjuangan kemerdekaan Sarawak sejak awal, menawarkan diri untuk melunaskan misi tersebut.
Pada 3 Disember 1949, Stewart turun ke Sibu sebagai lawatan rasminya yang pertama selepas dilantik menjadi Gabenor. Sepetimana yang dirancang, Rosli bersama Awang Rambli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntung sedia di lokasi menyamar sebagai sekumpulan pelajar.
Selepas Stewart memeriksa barisan kawalan kehormatan dan bertemu orang ramai, Morshidi menghentikan Gabenor itu untuk mengambil gambarnya, secara pura-pura. Ketika itulah, Rosli menerjah Stewart dan menikam dadanya dengan pisau kelasi disalut racun asid urik.
Rosli dan Morshidi serta-merta ditangkap sejurus kejadian dan dihumban ke Penjara Kuching sementara Awang Rambli & Bujang Suntung ditahan beberapa hari kemudian. Stewart segera diterbangkan ke Kuching sebelum ke Singapura untuk dirawat, namun mati seminggu kemudian.
Selepas dipenjara dan menjalani perbicaraan berat sebelah, Rosli, yang berusia 17 tahun dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Mereka menemui ajal pada subuh 2 Mac 1950 dan dikebumikan di situ atas perintah British.
Selepas 46 tahun bersemadi di dalam kompleks Penjara Kuching, jasad para pejuang itu dipindahkan ke Masjid Kampung Sibu, yang kini menjadi Makam Pahlawan Sarawak, pada 1 Mac 1996.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Sarawak Voice
Rosli Dhoby ditangkap
Rakan seperjuangan Rosli Dhoby dalam Rukun 13
Rosli barisan hadapan nombor empat dari kiri